Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merupakan wakil Allahyarham Tun Hussein Onn (dua kiri) menerima Mock-Key dari Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad, Datuk Azmir Merican (kanan) sambil ditemani Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz (kiri) pada Majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. foto 01 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Prinsip perjuangan yang dipegang Perdana Menteri Ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn ketika memimpin negara masih relevan untuk diguna pakai dalam pembangunan negara selaras dengan ​​​​Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Allahyarham bapanya itu komited melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan melebihi diri sendiri, meletakkan perpaduan sebagai teras kejayaan negara, bangsa dan sentiasa memastikan kedudukan Malaysia setanding dengan negara luar.

“Ketiga-tiga perkara ini penting dan dilihat relevan hari ini dalam konteks menuju ke arah negara maju dan TN50 dari segi kesungguhan, kejujuran, integriti dan komitmen ketika melaksanakan amanah, perpaduan dengan dunia yang semakin mencabar berikutan pelbagai isu yang boleh memecah belah kedudukan Malaysia dalam dunia tanpa sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussein Onn (MTHO) di sini hari ini daripada pihak kontraktor kepada Arkib Negara yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata bangunan ikonik baharu MTHO di Bukit Perdana yang menerapkan teknologi hijau itu melambangkan keperibadian Allahyarham sebagai Bapa Perpaduan negara.- BERNAMA