ALOR SETAR, 1 Nov -- Penyokong bola sepak Kedah berhimpun di hadapan pintu masuk utama selepas mereka gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan final Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman hari ini. Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR – Ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dekat Stadium Darulaman hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Kesemua mereka bertindak sedemikian setelah dimaklumkan tiket telah habis dijual pada pukul 10 pagi, walaupun empat kaunter baru dibuka sejam sebelum itu.

Keadaan itu menyebabkan para penyokong yang tidak berpuas hati mahu menyerbu pejabat KFA kerana mendakwa penerangan yang diberikan oleh persatuan itu agak meragukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar memberitahu sebanyak 30,000 tiket telah diperuntukkan dan daripada jumlah itu 18,000 telah diperuntukkan kepada 400 bas, manakala lebih 3,000 tiket lagi kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja.

“Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit,” katanya.- BERNAMA