Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Hassan menafikan tuduhan Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah berhubung satu rakaman video yang mendakwa beliau menceritakan tentang kumpulan ‘9 Dragons’.

Sebaliknya, bekas ketua polis negara itu menegaskan, rakaman yang tular itu merupakan kenyataanya mengenai sindiket The Four Heavenly Kings yang pernah ditumpaskan ketika beliau menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Saya tak pernah sebut pasal 9 Dragons. Bila masa saya kata pasal 9 Dragons ni. Saya tak kata kumpulan itu. Video yang tersebar itu lama-lama punya cerita,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Musa memberitahu, rakaman yang tersebar itu juga bukanlah sebuah rakaman baru tetapi ia direkod dalam satu wawancara bersama sebuah laman portal pada 2014.

Ketika ditanya mengenai salah faham Ridzuan dalam mengutarakan perkara tersebut pada sidang medianya di Johor Bahru minggu lepas Musa berkata, beliau tidak mengetahui bagaimana (Ridzuan) boleh membuat kesimpulan seperti itu terhadap apa yang diperkatakan dalam rakaman berkenaan.

Dalam satu sidang media di Johor Bahru, Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membuat teguran ke atas Musa meminta bekas ketua polis negara itu ‘duduk diam’ daripada mengutarakan isu berkaitan jenayah membabitkan 9 Dragons lebih-lebih lagi selepas beliau bersara daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ridzuan, Musa tidak perlu berlagak seperti ‘hero’ dalam membangkitkan perkara itu kerana ia boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam.

Ridzuan turut menegur Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) agar berhati-hati dalam membuat pendedahan mengenai 9 Dragons bagi mengelak diri mereka daripada menjadi mangsa kumpulan ganas tersebut.

Rakaman itu dipercayai dimuat naik semula di media sosial ekoran pendedahan yang dibuat oleh PPIM berhubung aktiviti 9 Dragons yang didakwa mampu mengutip keuntungan sehingga RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hirerarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.

Sementara itu ketika ditanya mengenai, zaman kegemilangannya dalam menumpaskan sindiket The Four Heavenly Kings, Musa berkata, hanya satu atau dua daripada mereka yang terlibat dengan sindiket itu terlepas. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2017/10/30/musa-hassan-diminta-duduk-diam-isu-9-dragons-ridzuan/