Pemain-pemain pasukan Johor meraikan gol yang dijaringkan Mohamad Aidil Zafuan A. Razak pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Johor DT menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2017.
SHAH ALAM – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan ramai apabila menjuarai TM Piala Malaysia 2017 kali ini.
Kedah yang turun selaku juara bertahan gagal mempertahankan kejuaraannya yang dimenangi tahun lalu.
JDT yang juga juara Liga Super 2017 melengkapkan musim  bola sepak kali ini dengan kemenangan berganda.
Dalam aksi perlawanan akhir yang telah berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi, jentera Southern Tigers yang dibarisi Mohamad Aidil Zafuan A. Razak mengejutkan Helang Merah menerusi jaringan hasil sepakan penjuru yang diperolehi seawal minit ke-2 di babak pertama.
Gol awal itu mengejutkan skuad Kedah kendalian Mohd. Nidzam Adzha Yusoff.
Kedah cuba bangkit daripada ketinggalan 1-0 dan mengatur strategi dan melakukan serangan.
Namun JDT kendalian Ulisses Manuel Nogueira  Morais berjaya mengetatkan bahagian pertahanan dan jentera tengah menyukarkan Kedah mencari gol penyamaan.
Pemain JDT, Kunanlan Subramaniam menerima kad kuning kerana menerjah pemain Kedah pada minit ke-20.
Pada minit ke-22 Kedah nyaris dibolos gol kedua namun penjaga golnya, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menepis percubaan JDT itu.
Sekali lagi seorang lagi pemain JDT Gabriel Miguel Guerra dilayang kad kuning kerana menerjah pemaan Kedah, Liridon Krasniqi pada minit ke 31.
Dengan berbaki dua minit sebelum tamatnya babak pertama, Kedah mendapat peluang menyamakan kedudukan namun ia disia-siakan.
Pada babak kedua, Kedah sekali lagi mendapat peluang menyamakan kedudukan malangnya ia juga gagal digunakan sebaik-baiknya apabila tandukan bola terkena tiang gol JDT.
JDT terus mengawal kemas bola dan juga serangan secara konsisten selain mengetatkan bek pertahanannya terus mengakibatkan Kedah terus buntu mencari gol.
Penyerang JDT, Gonzalo Gabriel mengeruhkan keadaan Kedah apabila menggandakan jaringan untuk pasukannya pada minit ke-62.
Perlawanan tamat dengan 2-0 memihak kepada JDT dan skuad itu mencipta sejarah julung kali menjulang TM Piala Malaysia edisi ke-91 kali ini.
Gonzalo Gabriel Cabrera dari JDT dinobatkan sebagai pemain terbaik Final TM Piala Malaysia 2017.-MalaysiaGazette