KUALA LUMPUR – Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi membidas sesetengah pihak yang menuduh beliau dan anggotanya menjana pendapatan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh UTK PPIM.

Dalam satu video yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, Yusof turut menegaskan bahawa tidak akan mengambil hatta sedikit pun daripada RM500,000.00 yang disumbangkan kerajaan persekutuan kepada PPIM.

Menurutnya, dana yang disalurkan kepada PPIM itu diuruskan oleh biro lain dalam persatuan itu, bukannya biro UTK di bawah kendaliannya.

Dalam masa sama, dengan sinis, Yusof turut menyindir pengkritiknya bahawa dana sebanyak RM500 ribu tersebut tidak mampu untuk membantu beliau dan pasukannya menyelesaikan masalah orang ramai melalui aduan-aduan yang dibuat kepada PPIM.

Justeru, pihaknya memerlukan hingga RM200 juta untuk tujuan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian dana khas kepada PPIM untuk membantu aktiviti pertubuhan itu menyelesaikan masalah orang ramai. – MalaysiaGazette