KUALA LUMPUR – AirAsia X terus memperluaskan rangkaian dengan pelancaran penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur, India atau ‘Pink City’ dengan kekerapan empat kali seminggu mulai 5 Februari tahun depan.

Sempena pelancaran itu, AirAsia X menawarkan promosi tambang termasuk semua serendah RM229 bagi tempat duduk ekonomi dan RM699 sehala bagi tempat duduk flatbed Premium untuk tempahan melalui airasia.com.

Tempahan itu bagi tempoh perjalanan antara 5 Februari dan 21 November 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, perkhidmatan itu diharap akan memberi hubungan lebih baik untuk pelancong bisnes dan santai India untuk melancong ke destinasi Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, dengan pembukaan laluan penerbangan baharu itu tempoh penerbangan dapat dipendekkan kepada lima setengah jam.

“Kami menjangkakan akan dapat menerbangkan seramai antara 132,000 hingga 143,000 penumpang di antara bulan Februari hingga Disember tahun hadapan untuk laluan ini,” katanya.

Selain menawarkan laluan Kuala Lumpur ke Jaipur, AirAsia X juga terbang terus ke New Delhi.

Sejak penerbangan ke New Delhi ini bermula pada Februari 2016, laluan ini telah mencatat faktor muatan purata 88 peratus. – MalaysiaGazette