KLANG, 7 Nov -- Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli (dua, kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan dalam pemprosesan dadah jenis syabu berhubung kes pembongkaran makmal dadah di Bandar Botanic pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini. Polis berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang positif dadah jenis Methamphetamine.?Polis turut merampas 100 Gram syabu dan 3.85 KG Meth Oil bernilai RM110,000 dan wang tunai berjumlah RM1,600.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLANG – Polis membongkar sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu selepas menahan lima individu termasuk tiga sekeluarga dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, pada 2 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata makmal berkenaan beroperasi di sebuah rumah mewah tiga tingkat yang disewa khas bagi tujuan tersebut di Bandar Botanic, di sini.

“Tiga sekeluarga, ayah, anak lelaki dan isteri kepada anaknya ditahan bersama seorang lagi suspek di sebuah kedai makan di Pandamaran, antara 1 petang dan 4.30 petang.

“Seorang lagi suspek lelaki ditahan dalam serbuan serentak di sebuah rumah di Taman Sejati. Rumah yang dijadikan makmal memproses dadah berkenaan diserbu susulan tangkapan kesemua suspek terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata sebuah bilik di tingkat bawah rumah itu diubahsuai untuk dijadikan makmal memproses dadah dan antara barangan dirampas dari rumah berkenaan adalah alatan makmal serta bahan kimia berupa serbuk dan cecair dipercayai untuk memproses syabu.- BERNAMA