Home Ekonomi Mangsa banjir Pulau Pinang boleh tangguh ansuran Bank Islam

Mangsa banjir Pulau Pinang boleh tangguh ansuran Bank Islam

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Program Prihatin bagi membantu kesemua pelanggannya yang menjadi mangsa bencana banjir.

Bantuan itu merangkumi pengecualian yuran bagi sebarang permohonan untuk menggantikan kad debit dan buku akaun Bank Islam yang hilang atau musnah.

Para pelanggan perkhidmatan pembiayaan Bank Islam juga boleh memohon penangguhan pembayaran bulanan selama enam bulan bagi pembiayaan Peribadi-i, Kenderaan-i dan Rumah-i.

Selain itu, pelepasan pembayaran Yuran Ganti Rugi (Ta’widh) yang dikenakan kepada pelanggan sepanjang tempoh penangguhan pembayaran (moratorium).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin dalam kenyataannya berharap program ini dapat bantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan pada waktu-waktu yang mencabar ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan akaun para pelanggan dan operasi perniagaan, Bank Islam akan menggantung sementara perkhidmatan perbankan bukan kritikal di cawangan-cawangan sokongan yang terlibat dalam tindakan pemulihan banjir.

Penggantungan itu melibatkan pembukaan akaun, pertanyaan baru untuk perkhidmatan perbankan Internet dan pindaan kepada fail maklumat pelanggan.

Sebarang pertanyaan dan permohonan mengenai penangguhan pembayaran bulanan khidmat pembiayaan Bank Islam dan pelepasan bayaran Yuran Ganti Rugi (Ta’widh), para
pelanggan boleh berhubung terus di talian 03- 26900922. – MalaysiaGazette