Ketua pasukan Johor DT, Safiq Rahim bersama rakan pasukannya menjulang Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 antara Johor DT menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2017.

JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menerima ganjaran RM1 juta daripada kerajaan negeri susulan kejayaan pasukan itu memenangi Piala Malaysia.

Keputusan pemberian ganjaran itu dibuat dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam.

Imbuhan yang diberikan kerajaan negeri itu bagi menghargai usaha serta kerja keras pemain dan pegawai pasukan JDT yang berjaya menjulang Piala Malaysia.

Pada Sabtu lalu, JDT menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor.

Susulan kemenangan itu, Mohamed Khaled memaklumkan akan memperincikan ganjaran yang akan diberikan kepada JDT dalam mesyuarat Exco. – MalaysiaGazette.