KUALA LUMPUR – Minat Tan Sri Annuar Musa terhadap sukan bola sepak tidak pernah terpadam sebaliknya terus subur apabila merancang menubuhkan sebuah akademi bola sepak bagi melahirkan bakat baharu dari peringkat akar umbi.

Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkata, penubuhan akademi itu meneruskan usaha pembangunan bola sepak negeri tersebut.

Beliau memberitahu, ia akan dilancarkan Januari depan dengan pemilihan bakat membabitkan beberapa daerah.

“Insya-Allah sebuah akademi induk (ditubuhkan) serta lapan satelit membabitkan kawasan Pasir Puteh, Machang, Bachok, Kota Bharu, Kubang Kerian dan Ketereh.

“Dijangkakan 500 pelatih bakal dipilih bermula peringkat umur 10 tahun ke bawah dan dua pusat elit untuk kategori 14 dan 15 tahun,” katanya yang memaklumkan perancangan itu menerusi entri Facebooknya, hari ini.

Beliau yang pernah memimpin pasukan Kelantan sehingga membuahkan kejayaan treble dalam Liga Malaysia (Liga-M) pada 2012 itu berkata, akademi itu akan merekrut 24 jurulatih tempatan serta dua ketua jurulatih antarabangsa.

“Seramai 24 jurulatih tempatan diperlukan dan akan diurus oleh dua ketua jurulatih antarabangsa,” katanya.

Dalam entri sama, Annuar turut memaklumkan beberapa syarikat sudah ditawarkan bagi penajaan akademi terbabit.

“Beberapa syarikat sudah dijemput untuk turut menaja akademi ini. Insya-Allah minggu depan saya sendiri akan melawat beberapa akademi luar negara untuk memuktamadkan model akademi dan corak kejurulatihan yang akan diguna pakai,” katanya. – MalaysiaGazette