KUCHING – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan usul kementerian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Usul tersebut dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban dan disokong oleh Tan Sri Dr James Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Usul itu diluluskan selepas dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk empat daripada pembangkang.

Empat anggota pembangkang ialah See Chee How (PKR-Batu Lintang), Wong King Wei (DAP-Padungan), Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) dan Baru Bian (PKR-Ba’kelalan) manakala dua ADUN Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Dr Sim Hui Kian (Batu Kawa) dan Datuk Penguang Manggil (Marudi).

Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar kemudian membenarkan usul itu diundi dan ia sebulat suara mendapat sokongan oleh semua anggota dewan.

Uggah dalam usulnya, memohon anggota dewan itu supaya memberi mandat kepada kerajaan negeri membentuk pasukan petugas khas peringkat tinggi untuk berunding dengan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan semua isu tertunggak berkaitan pematuhan dan mendokong perlindungan perlembagaan dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada negeri Sarawak mengikut terma, niat dan semangat MA63.

Beliau berkata, penyelesaian isu-isu perundangan dan perlembagaan yang penting ini perlu dilakukan oleh pasukan petugas tertinggi di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kelulusan usul ini tidak seharusnya disalahtafsirkan. Sarawak menghormati keputusan pemimpin terdahulu dan kami (Sarawak) akan terus kekal dalam Malaysia,” katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan memberikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

Pada 8 Disember 2015, DUN Sarawak meluluskan usul yang dibentangkan oleh Dr Masing agar kerajaan negeri diberi kuasa mengambil langkah dan tindakan melindungi Perkara VIII MA63 untuk pelaksanaan sepenuhnya semua syor dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan melindungi hak-hak istimewa negeri dan rakyatnya.

Sebuah pasukan diketuai ADUN Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, yang juga pembantu menteri Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek, dihantar ke London untuk melihat dan meneliti salinan asal dokumen-dokumen berkaitan MA63 yang diklasifikan semula oleh kerajaan Inggeris dan disimpan di Arkib Negara British.

Uggah berkata, pasukan peguam telah memperoleh salinan dokumen penting itu yang telah diperakui dan disahkan. – Bernama