Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Setelah menolak dakwaan bahawa anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas mengawal keselamatan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditarik balik, kini PDRM berkata jumlah bilangan pegawai UTK akan ditambah pada masa akan datang.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, jumlah itu akan ditambah sekiranya terdapat ancaman merbahaya terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Ini bergantung kepada ancaman terhadap Tun Mahathir, kita akan tambah pegawai kita dan kita akan bagi kawalan keselamatan yang perlu,” katanya kepada media dalam satu acara di ibu negara hari ini.

Mohamad Fuzi, awal bulan lalu menolak dakwaan bahawa UTK yang mengawal keselamatan Dr. Mahathir sudah ditarik balik.

Katanya, polis masih mengekalkan anggota UTK bagi mengiringi dan mengawal keselamatan beliau termasuk di dalam rumah.

Malah katanya, anggota UTK wanita turut ditempatkan bersama isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Pada ketika ini, kita ada anggota UTK wanita untuk isteri beliau. Malah rumah pun kita kawal, banyak pihak yang buat tuduhan yang bukan-bukan kerana perkara ini sudah dijelaskan kepada umum,” katanya.

Dr. Mahathir dalam media sosialnya sebelum ini berkata, anggota UTK yang ditugaskan untuk menjaga keselamatannya ditarik balik pada 1 November lalu.

Kenyataan itu nyata mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan menarik balik pegawai UTK adalah keterlaluan dan tidak wajar sama sekali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast