Segala spekulasi mengenai PSG terjawab apabila kelab LIgue 1 itu mensasarkan Antonio Conte bukan Jose Mouriho akhir musim ini.

PARIS – Paris Saint Germain telah menghubungi Antonio Conte untuk menjadi pengurus kelab itu, menurut laporan terbaharu dari Ligue 1.

Kelab Perancis dilaporkan mahu menukar pengurus kelab itu pada musim depan.

Isu itu terus menjadi spekulasi mengenai siapa bakal menggantikan pengurus semasa Unai Emery.

Terdahulu, Pengurus Manchester United, Jose Mourinho pula dikhabarkan bakal mengambilalih tugas itu.

Berita itu tular dalam media sosial di serata Eropah sehingga pemilik dan pengurusan tertinggi kelab di Old Trafford didakwa kononnya sudah bersedia menerima hakikat itu.

Malah, Pengurus kelahiran Portugal itu juga didakwa kecewa kerana The Red Devils tidak mendapatkan pemain prolifik yang dikehendaki dan menuntut pendapatan tinggi dalam penyambungan kontrak yang masih berbaki 18 bulan lagi.

Malah agen Mourinho juga dikhabar telah berjumpa dengan pengurusan PSG.

Tetapi sebagai menangkis segala spekulasi itu, PSG menjawab segala khabar angin itu apabila difahamkan pengurus Chelsea merupakan sasaran sebenar mereka.

Bekas jurulatih Itali itu disenarai pendek sebagai calon paling sesuai mengambil alih kejurulatihan PSG yang telah berbelanja besar dengan menurunkan Neymar dari Barcelona dengan perpindahan rekod dunia.

Sebuah akhbar di Perancis Le Parisien melaporkan bahawa PSG telah menghubungi ejen Conte bagi membincangkan penghijrahan itu.

Bagaimanapun, laporan sama tidak menolak kemungkinan Emery akan meneruskan peranannya untuk satu lagi musim.

Namun ia hanya akan berlaku sekiranya Emery berjaya membawa PSG sehingga peringkat Separuh Akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Jika gagal, dia akan digantikan dengan Conte yang dipantau begitu rapat oleh PSG.

Walaupun Conte berjaya membantu Chelsea menjulang Piala EPL musim lalu, prestasi semasa kelab itu pada awal musim ini tidak begitu meyakinkan.

Dan laporan terbaharu di Stamford Bridge difahamkan kelab itu sedang mempertimbangkan untuk memecat Conte. – MalaysiaGazette