ALOR SETAR, 12 Nov -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) menunjukkan buku Bajet 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darulaman hari ini. Kerajaan negeri Kedah mengumumkan pemberian khas berjumlah RM2,000 kepada penjawat awam negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM14 juta. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah hari ini membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.38 bilion dengan defisit sebanyak RM75.72 juta atau 9.71 peratus.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ia meliputi RM855.22 juta perbelanjaan mengurus dan RM532.2 juta peruntukan dan pinjaman daripada kerajaan persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Perbelanjaan pembangunan tersebut meliputi RM274.66 juta pinjaman daripada kerajaan persekutuan bagi projek pembangunan bekalan air.

“Unjuran defisit mencatatkan penurunan berbanding 10.28 peratus pada tahun 2017 dan 14.95 peratus pada tahun 2016, ia satu testimoni bahawa kerajaan ini berupaya menyediakan bajet yang realistik serta mampu dicapai berdasarkan kemampuan semasa,\” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya, di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM262.84 juta diperuntukkan bagi pembayaran emolumen, perkhidmatan dan bekalan (RM161.18 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM74.38 juta), perbelanjaan aset (RM13.4 juta) dan sebanyak RM5.1 juta bagi lain-lain perbelanjaan.- BERNAMA