Home Utama Jangan desak doktor beri antibiotik

Jangan desak doktor beri antibiotik

Sumber KKM

KUALA LUMPUR – Masyarakat dinasihat tidak mendesak para doktor untuk memberikan antibiotik bagi semua jenis jangkitan.

Ini kerana kebanyakan jangkitan seperti batuk dan selsema adalah disebabkan oleh virus sedangkan antibiotik tidak mempunyai kesan terhadap virus.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya pesakit sememangnya memerlukan rawatan antibiotik, mereka mesti mematuhi nasihat ahli profesional kesihatan tentang cara pengambilan antibiotik yang betul termasuk dos dan tempoh rawatan yang diperlukan serta tidak berkongsi antibiotik dengan orang lain.

Sumber KKM

“Penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa menyumbang kepada kerintangan antibiotik.

“Kerintangan antibiotik menyebabkan antibiotik yang biasa digunakan tidak lagi berkesan. Kos penjagaan kesihatan akan meningkat kerana jangkitan menjadi teruk serta memerlukan rawatan yang intensif dan tempoh rawatan yang lama.

“Risiko kematian dan penyebaran jangkitan kepada orang lain turut meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini sempena pelancaran Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan di Hospital Serdang hari ini.

Kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat dan para profesional kesihatan supaya menggunakan antibiotik secara rasional dan bertanggungjawab bagi mengawal kerintangan antibiotik.

Noor Hisham berkata, antibiotik adalah sejenis ubat dikawal di bawah akta sedia ada yang mana ia hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan dan veterinar berdaftar serta ahli farmasi berlesen, dengan preskripsi yang sah.

Penjualan antibiotik secara atas talian adalah dilarang.

Jelasnya, penguatkuasaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap penjualan ubat seperti antibiotik dijalankan secara berterusan termasuk rampasan antibiotik bagi kes pelanggaran di bawah Akta Racun 1952.

Penggunaan antibiotik juga sentiasa dipantau melalui aktiviti survelan penggunaan antibiotik yang dijalankan sepanjang tahun di hospital KKM, Hospital Angkatan Tentera, hospital universiti, hospital swasta dan klinik kesihatan.

“Antibiotik merupakan sumber yang berharga dan perlu digunakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia kekal berkesan untuk seberapa lama yang boleh.

“Maka adalah penting untuk masyarakat awam mendapatkan nasihat yang tepat sebelum mengambilnya bagi memastikan anda dan keluarga anda mendapat rawatan yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast