Othman Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengaktifkan sistem yang dibangunkan untuk rakyat menyemak wang yang dituntut secara dalam talian pada suku kedua 2018, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz.

Othman berkata, sistem tersebut yang dikenali sebagai Electronic Government Unclaim Money Information System (E-GUMIS) diperkenal bagi memudahkan orang ramai mengakses dan menyemak wang yang dituntut tanpa perlu melakukannya secara manual lagi.

“Mulai suku kedua tahun 2018, E-GUMIS atau Electronic Government Unclaim Money Information System (E-GUMIS) akan diaktifkan bagi memudahkan rakyat menyemak dan mengakses status wang yang tak dituntut,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, untuk memudahkan rakyat di luar bandar menyemak, Othman memberitahu Jabatan Akauntan Negara juga akan menyertai Mobile CTC yang dianjurkan Kementerian Kewangan untuk membantu semakan wang tak dituntut.

Menurut Othman, baki wang tidak dituntut sehingga 31 Oktober 2017 adalah sebanyak RM5.96 bilion.

Jelasnya, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang ini, kerajaan telah menganjurkan pelbagai kempen melalui media cetak seperti akhbar dan program bual bicara.

“Selain itu kita juga ambil bahagian dalam pameran booth, memberi penerangan kepada pengunjung, aktiviti bersama pelbagai agensi dan jabatan.

“Selain daripada itu taklimat kesedaran secara berkala turut diadakan di semua pejabat akauntan negeri seluruh Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette