Mayat salah seorang mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian.

KOTA BHARU – Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Itu adalah gambaran kejadian tiga beranak dibunuh kejam manakala seorang lagi parah selepas ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Che Yeh di sini petang ini.

Mangsa ialah pasangan suami isteri iaitu Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37 dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13,

Dalam pada itu, anak perempuan pasangan tersebut, Kha Xing Rhuu, 15, cedera parah kerana dipukul di belakang kepala dan kini kritikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Din Ahmad berkata, pihak polis menerima maklumat tentang kejadian itu daripada jiran mangsa pada pukul 2.30 petang selepas melihat Eng Ni terbaring dengan berlumuran darah di depan rumah tersebut.

Beliau berkata, semasa kejadian, empat beranak tersebut bersama seorang pekerjanya dikatakan sedang mengira stok barangan alat perkakasan di rumah tersebut.

“Pasangan itu merupakan pembekal alat perkakasan, rumah itu dijadikan stor untuk menyimpan stok barangan sebelum dihantar kepada pembeli secara terus.

“Suami isteri itu dipercayai ditikam bertubi-tubi di dada manakala anaknya dihentak dengan tukul di kepala sehingga mati manakala seorang lagi cedera parah.

“Kita percaya suspek kejadian ini adalah pekerja mangsa sendiri yang telah menghilangkan diri dengan sebuah van kecil milik mangsa,” katanya di sini hari ini.

Din berkata, pihaknya turut menemukan sebilah pisau, besi dan tukul yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa di tempat kejadian.

“Kita percaya kes ini berlaku sekitar pukul 1.30 petang sehingga 2.30 petang dan kita tidak menolak kemungkinan kes ini berpunca daripada dendam namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – MalaysiaGazette