WASHINGTON DC, 12 Sept -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut Presiden Donald Trump ketika tiba bagi membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih hari ini. Perbincangan dengan Trump adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu, selepas 60 tahun menjalinkan hubungan dua hala. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA WASHINGTON DC, Sept 12 -- Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak warmly welcomed by Presiden Donald Trump on arrival for their one-on-one meeting at the White House today. The discussion with Trump was the highlight of Najib's Sept 11-13 working visit to the US at the invitation of the 45th US president following 60 years of bilateral relations. -- fotoBERNAMA (2017) COPYRIGHT RESERVED
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah rakan yang boleh dipercayai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan merupakan rakan yang diberikan perhatian penting termasuk dalam isu-isu yang diketengahkan Malaysia.

Itu kesimpulan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang melihat dan menilai keselesaan dan penghargaan Presiden Trump terhadap Najib terutama ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan di Manila, Filipina baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman penyertaannya itu dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini, Anifah berkata pada sesi dialog ASEAN-Amerika Syarikat sempena Sidang Kemuncak ASEAN itu, Trump memuji Najib atas peranan cemerlang yang dimainkan oleh Malaysia sebagai negara penyelaras hubungan dialog ASEAN-Amerika Syarikat.

Trump turut membuat penegasan di hadapan pemimpin yang hadir mengenai persahabatannya dengan Najib yang telah terjalin sebelum beliau menyandang jawatan Presiden Amerika Syarikat, katanya.

“Perdana Menteri Najib adalah kawan baik saya, sahabat baik saya. Kami telah lama kenal sebelum saya menjadi Presiden ketika saya berada di dalam dunia perniagaan. Dalam kehidupan, anda tidak akan tahu di mana kesudahannya”, kata Trump, yang menurut Anifah diungkapkan pada awal sesi dialog itu sambil melihat wajah-wajah pemimpin ASEAN.


Anifah menyifatkan kenyataan Trump bahawa Najib adalah kawan baiknya merupakan satu penghargaan kerana Presiden Amerika Syarikat itu adalah seorang yang “lokek” dengan perkataan yang memuji pemimpin-pemimpin dan negara.

“Tapi dia (Trump) memilih Malaysia, dia kata Datuk Seri Najib adalah kawan baik saya. Ini bukan kata-kata yang mudah dikeluarkan Trump, dari segi bahasa gerak geri, dia juga ikhlas,” kata Anifah.

Anifah yang mengikuti rapat gaya Trump sejak berkempen sebagai Presiden Amerika Syarikat mendapati beliau seorang yang tidak berselindung dan terus terang dalam kata-katanya seperti slogan kempennya “Make America Great Again”.

Menurut Anifah, Trump dengan berpandukan slogan berkenaan dalam penyertaan pertamanya pada dialog ASEAN-Amerika Syarikat itu telah menyatakan komitmen tentang kepentingan ASEAN dan menghargai hubungan dialog ASEAN-Amerika Syarikat serta turut menggalakkan untuk kerjasama yang saling menguntungkan kedua belah pihak.

Presiden Trump, menurut Anifah, telah menyeru kepada amalan perdagangan yang bebas dan adil bagi menyelaraskan jurang imbangan perdagangan antara ASEAN dan Amerika Syarikat.

Anifah berkata Najib mempunyai kualiti yang menyebabkan Trump menghargainya dan mempercayainya.

Anifah berpendapat sikap konsisten yang dipamerkan Malaysia dalam pelbagai isu dan pendirian seperti Rohingya dan Laut China Selatan menyebabkan Trump menghargai Najib sebagai rakan pemimpin yang boleh dipercayai.

Selain itu, katanya, walaupun Malaysia rapat dengan China namun ia tidak berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara.

Menurut Anifah, Trump mendengar dengan tekun apabila Najib membentangkan isu-isu.

“Sekiranya Datuk Seri Najib tidak menarik perhatian Trump berhubung isu-isu nasional, serantau dan antarabangsa, saya tidak fikir Trump akan memberi perhatian kepadanya,\” katanya.

Beliau berkata ia sudah semestinya di atas penilaian Trump sendiri terhadap Najib bahawa ia adalah berbaloi untuk mempunyai rakan di bahagian rantau ini dan seorang rakan yang anda boleh percaya.

Anifah berkata persahabatan yang terjalin antara Najib dan Trump sebelum ini antara faktor yang memungkinkan Najib dijemput ke White House selepas beberapa bulan Trump menjadi presiden.

Berkongsi pengalaman penglibatannya dalam mengatur pertemuan Najib dan Trump, Anifah berkata beliau mengemukakan surat cadangan pertemuan dua pemimpin itu untuk membincangkan isu-isu utama kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson pada Mei tahun ini.

“Tak payahlah kita bayar konsultan. Kita tidak pernah mengambil perunding atau membayar sesiapa pun,” katanya, sambil menambah beliau dimaklumkan ketika mengemukakan surat berkenaan bahawa pertemuan Najib dan Trump akan menjadi senarai keutamaan.

Pertemuan Najib dan Trump di White House berlangsung pada 12 Sept lepas.

“Mei hingga September ialah empat bulan. Sekiranya Datuk Seri Najib tidak kenal Trump, adakah kemungkinan boleh adakan pertemuan dua hala dalam masa empat bulan,\” kata Anifah.

Anifah berkata perancangan menjemput Presiden Trump ke Malaysia mungkin akan dibuat selepas pilihan raya umum ke-14 nanti.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast