Husam Musa

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa berkata, beliau tidak tahu menahu perihal penahanan anaknya, Ahmad Shafi yang dilaporkan direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda petang ini.

Katanya, beliau hanya maklum mengenai perkara tersebut apabila seseorang menghantar imej laporan sebuah portal berita melalui Whatsapp.

 

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Juga tiada pemakluman polis bahawa beliau akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi. Saya juga tidak diberitahu sehingga kini di mana anak saya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook pemimpin itu.

Menurut Husam, beliau hanya diberitahu oleh seorang jiran bahawa anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang semalam.

BACA: Anak pemimpin PAN ditahan miliki dadah

“Saya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai isu ini selepas dapat menemui anak saya pada waktu terdekat jika diizinkan polis serta mendapat kedudukan sebenar isu ini dari pihak polis,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pihaknya membuat pemerhatian di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong di sini pukul 3.30 petang semalam dan mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila anggota kita memperkenalkan diri, dia cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.

“Dia enggan memberikan kerjasama. Bagaimanapun kita berjaya menahan lelaki ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu balutan kertas tisu berwarna putih dalam poket seluar suspek, bungkusan itu mengandungi sepaket plastik berwarna biru berisi 198 biji pil warna merah dan dua biji pil warna hijau disyaki dadah jenis pil kuda,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast