Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa kemalangan jalanraya, Shukri Dollah (dua kanan) dan Zakri Kamaruddin (kanan) pada Majlis Hari Memperingati Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan di Atrium Galeria, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 20 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengakui kempen keselamatan jalan raya gagal mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Beliau berkata Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 menyasarkan pengurangan kadar kematian dan cedera parah akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2020, namun malangnya jumlah kemalangan jiwa terus meningkat setiap tahun.

Justeru, katanya semua agensi relevan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan berbincang dalam masa terdekat bagi mewujudkan pendekatan lebih holistik bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita harus membuat fokus baharu (dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan) kerana saya melihat data (kemalangan) yang ada hari ini semakin naik, sebab itu saya kata kita gagal dan kita harus mengakui fakta itu.

“Mungkin kita perlu melihat amalan di negara lain seperti Sweden yang mempunyai kadar kemalangan 10 kali ganda lebih rendah daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata sejak 2003, angka kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini tidak pernah kurang daripada 6,000 orang setahun dan buat pertama kalinya kes kematian melepasi angka 7,000 orang pada tahun lepas.

Selain meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, katanya antara langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang boleh dipertimbangkan termasuk mengetatkan syarat pemilikan kenderaan.

Menurutnya, kebelakangan ini sebanyak 1.5 juta kenderaan baharu dan lebih 500,000 pemandu baharu didaftarkan di Malaysia pada setiap tahun.

“Di Singapura contohnya, seseorang yang hendak membeli kenderaan peribadi perlu mempunyai Certificate of Entitlement (COE). Tetapi di negara kita hari ini, sebuah rumah kadang-kala ada sehingga enam biji kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa berkata pada tahun lepas, sebanyak 960,569 kemalangan jalan raya direkodkan di negara ini dengan 670,935 daripadanya melibatkan motosikal.

Rosli berkata punca kemalangan maut yang tertinggi pula adalah terbabas iaitu sebanyak 1,850 kes, pertembungan berdepan (1,590), langgar sisi (959), langgar belakang (710) dan bergesel (420).

Pada majlis itu, beberapa orang mangsa kemalangan jalan raya yang mengalami kecedaraan parah dan hilang upaya kekal turut diundang bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain agar sentiasa mengamalkan pemanduan selamat di jalan raya,

Bagi Azhari Ibrahim, 48, yang mengalami kemalangan motosikal ketika pulang dari tempat kerja dari Kelana Jaya ke Shah Alam, Selangor pada tahun 1994, beliau mahu pengguna jalan raya menjadikan kisahnya sebagai satu pengajaran.

Beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai seorang anak perempuan, berkata kehidupannya yang dulu aktif termasuk sering bersukan dengan rakan-rakan bertukar 360 darjah selepas kemalangan itu akibat kecederaan teruk pada tulang belakang.

“Selepas kemalangan itu, selama tiga tahun saya terlantar, menyebabkan ekonomi keluarga merosot terutama bagi menampung kos rawatan saya yang tinggi apabila pelbagai komplikasi lain muncul,” katanya.

Kini walaupun berkerusi roda, Azhari yang membuka perniagaan membekalkan peralatan pemulihan perubatan, berkata beliau terpanggil untuk menyertai kempen keselamatan jalan raya bagi mengingatkan pengguna jalan raya yang lain agar tidak menjadi mangsa seperti dirinya.

— BERNAMA