Tiga anggota polis berpangkat Lans Korperal yang mengaku tidak bersalah meminta dan menerima wang rasuah dibawa keluar pegawai SPRM dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Tiga anggota polis berpangkat Lans Korperal yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Seri Alam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang rasuah daripada orang awam pada tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, Lans Koperal Azizan Mohamad, 30 dan Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dihadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong di sini pafa pukul 1 pagi 9 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka didakwa menerima suapan RM2,250 daripada orang yang sama sebagai dorongan sama di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, di sini pada 4.50 pagi, tarikh yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap minggu pertama sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes tersebut ditetapkan pada 9 Januari 2018. – MalaysiaGazette