PASIR MAS, 4 Nov -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (lima, kiri) bersama orang ramai melaungkan 'BN milik Kelantan' pada majlis sepetang bersama pemimpin di Kampung Felcra Bukit Tandak Rantau Panjang hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yasim (empat, kanan). --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Cadangan usaha merancakkan pembangunan prasarana di kawasan luar bandar antara perkara yang akan diketengahkan oleh UMNO Kelantan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur awal bulan depan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat berkata walaupun sudah banyak projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dilaksanakan di negeri ini namun didapati masih banyak kawasan luar bandar yang memerlukan kemudahan.

“Kemudahan tersebut termasuk jalan-jalan desa, jambatan dan lampu jalan sama ada dibina baharu atau dinaik taraf untuk keselesaan pengguna yang terdiri daripada penduduk kampung,” katanya kepada Bernama di sini.

Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas berkata pihaknya juga akan mencadangkan supaya peluang pekerjaan dipertingkatkan selain mewujudkan mekanisma berkesan untuk menangani kenaikan kos sara hidup bagi meringankan bebanan rakyat.

Selain itu, UMNO Kelantan juga mahu supaya bantuan daripada parti mahupun kerajaan disampaikan terus kepada golongan sasar supaya manfaatnya dapat dirasai dan dihargai oleh penerimanya.

Hanafi berkata pihaknya juga akan mencadangkan supaya peluang dalam pengajian ilmu al-Quran di Kelantan dipertingkatkan, selain menggalakkan pelancongan berasaskan Islam.

Katanya, Kelantan memiliki kepelbagaian potensi pelancongan berasaskan Islam namun masih tidak dieksploitasi sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Hanafi berkata wakil Kelantan juga akan menyentuh betapa pentingnya memperkukuhkan semangat solidariti dan prinsip wala’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata kesemua perkara tersebut akan dibangkitkan oleh tiga wakil UMNO Kelantan semasa membahaskan ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan pada perhimpunan tersebut yang akan berlangsung selama lima hari bermula 5 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang anggota perwakilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman berkata perhimpunan agung UMNO harus menjadi medan pembakar semangat untuk anggota parti bersatu dan wala’ kepada pemimpin bagi membentuk daya juang baharu menghadapi PRU14.

Beliau berkata solidariti dan wala’ adalah penting dalam keadaan sekarang apabila parti dan pemimpin berhadapan dengan pelbagai serangan daripada pembangkang yang giat menabur fitnah.

“Perhimpunan ini adalah perhimpunan terakhir sebelum PRU14 maka inilah peluang terbaik untuk anggota dan pemimpin sama-sama bersepakat untuk melaksanakan gerak kerja memastikan UMNO dan Barisan Nasional menang PRU tersebut,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast