Home Dunia Hariri tangguh peletakan jawatan

Hariri tangguh peletakan jawatan

BEIRUT – Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri menangguhkan perletakan jawatannya yang dibuat pada 4 November lalu.

Beliau turut menangguhkan perbincangan dan mahu mencari jalan keluar bagi menangani krisis yang menggegarkan negara itu.

Dalam ucapan di hadapan para penyokongnya, Hariri berjanji berada di negara ini dan melindungi kestabilannya.

Lubnan dalam kegawatan selepas Hariri yang mengumumkan peletakan jawatannya ketika berada di Arab Saudi.

Bagaimanapun, Presiden Lubnan, Michel Aoun enggan menerima peletakan jawatan Hariri sehingga beliau pulang.

Perletakan jawatan itu dilihat sebagai ketegangan dalam persaingan jangka panjang antara Arab Saudi dan Iran dan menimbulkan kebimbangan bahawa Lubnan akan lumpuh.

“Saya membincangkan peletakan jawatan saya dengan presiden yang kemudian meminta saya menunggu sebelum mengemukakannya … dan membenarkan saya melakukan lebih banyak perundingan,” kata Hariri kepada pemberita sambil memberitahu beliau bersetuju dengan permintaan tersebut.

Hariri berharap keputusan itu membolehkan lebih banyak dialog yang serius dijalankan bagi menangani krisis tersebut. – MalaysiaGazette