Zakaria Arshad (dua kiri) melihat dokumen keputusan kewangan FGV bagi suku ketiga tahun 2017 bersama Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan FGV, S. Palaniappan (dua kanan), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Dato' Mohd Talha (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Sektor Logistik dan Lain-Lain, Datuk Khairil Anur Aziz (kanan) di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM38.77 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2017, sekali gus meneruskan keuntungannya selepas kerugian pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatannya menyusut dengan kerugian bersih sebanyak RM73.60 juta setahun yang lalu.

Ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham berjumlah RM182.41 juta yang akan dibayar pada 28 Disember.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, pendapatan syarikat itu susut kepada RM4.148 bilion berbanding RM4.191 bilion setahun lalu.

FGV merekodkan kenaikan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak 31 peratus kepada RM114 juta berbanding RM87 juta pada suku sebelumnya, dipacu oleh kenaikan pengeluaran MSM sebanyak 18 peratus, kos gula mentah yang rendah sebanyak 11 peratus dan prestasi baik oleh sektor logistik dan lain-lain.

Sektor perladangan mencatatkan keuntungan yang lebih rendah iaitu RM107.13 juta pada suku ketiga berbanding RM148.91 juta pada suku sebelumnya disebabkan oleh kenaikan nilai saksama yang lebih tinggi dalam perjanjian pajakan tanah (LLA) pada suku ketiga sebanyak RM103.58 juta berbanding RM23.07 juta pada suku sebelumnya.

Tidak termasuk kesan di atas, keuntungan sektor perladangan meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM210.71 juta daripada RM171.98 juta pada suku kedua.

Katanya, kenaikan 14.2 peratus dalam jumlah jualan MSM membantu mengimbangi penurunan purata harga MSM yang direalisasikan pada suku ketiga iaitu RM2,665 berbanding RM2,796 pada suku kedua.

Pengeluaran CPO naik 18 peratus disokong oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih tinggi sebanyak 1.23 juta tan berbanding 1.04 juta tan pada suku ked.

Kadar pengekstrakan minyak (OER) meningkat sedikit kepada 19.78 peratus pada suku ketiga berbanding 19.77 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor gula pula kembali pulih dengan keuntungan sebanyak RM15.64 juta daripada kerugian RM18.44 juta pada suku kedua berikutan kos bahan mentah yang rendah.

Purata kos gula mentah setiap tan turun sebanyak 11 peratus kerana harga pasaran gula mentah merosot.

Manakala sektor logistik dan lain-lain juga pulih dengan keuntungan RM20.15 juta berbanding kerugian RM4.31 juta pada suku kedua.

Zakaria memberitahu, bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, FGV merekodkan perolehan sebanyak RM67.15 juta berbanding kerugian bersih RM80.99 juta bagi tempoh sebelumnya.

Pendapatan juga melonjak sebanyak 5.0 peratus kepada RM12.69 bilion berbanding RM12.06 bilion.

FGV juga merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebnayak RM170 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017 berbanding RM44 juta pada tempoh tahun lalu, disokong oleh prestasi kukuh sektor perladangan serta logistik dan lain-lain. – MalaysiaGazette