RUMAH MAMPU MILIK JOHOR (RMMJ) DI TAMAN PASIR PUTIH, PASIR GUDANG.

ISKANDAR PUTERI – Jika sebelum ini kerajaan negeri Johor menyasarkan membina 60,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2020, tapi kini mahu membina tambahan 40,000 unit lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2023.

“Dalam pembentangan Bajet Johor Tahun 2016, saya menyatakan bahawa kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 60,000 unit Rumah RMMJ menjelang tahun 2020.

“Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan negeri meletakkan komitmen tambahan 40,000 unit RMMJ lagi menjelang tahun 2023 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100,000 unit,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, agenda perumahan akan terus menjadi keutamaan besar Kerajaan
negeri dan sehingga kini sebanyak 16,010 unit RMMJ telah berjaya disiapkan, melepasi 27 peratus sasaran.

“Task Force Perumahan Negeri Johor mengunjurkan unit RMMJ yang akan disiapkan adalah sebanyak 13,536 unit bagi tahun 2018, dan 30,993 menjelang tahun 2020,” katanya.

Selain projek RMMJ, tambahnya, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan membina perumahan mampu milik bagi golongan pertengahan (M40) yang berharga di bawah RM300,000.

“Projek ini akan melibatkan dua kawasan utama iaitu di Taman Pelangi Indah di atas kawasan seluas 6 ekar yang merangkumi 280 unit rumah pangsapuri dan di Taman Rinting di kawasan seluas 4.5 ekar yang merangkumi 208 unit rumah pangsapuri,” katanya. – MalaysiaGazette.