Khairy Jamaludddin.

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Cameron Highlands P078 terus menjadi hangat dan panas apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ‘mengelak’ daripada menyatakan sokongan kepada mana-mana calon atau parti komponen tertentu yang berhasrat untuk bertanding kawasan itu pada PRU-14 kelak.

Beliau sebaliknya bertindak menasihati Ketua Pemuda MyPPP, Sathiah Sudakaran supaya berbincang tentang ‘perbalahan’ kerusi Cameron Highlands secara dalaman dengan komponen Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

“Saya bersetuju dengan ucapan dasar panjang lebar Sathiah kecuali isu calon kerusi Cameron Highlands. Saya tidak dapat berkata apa-apa kerana MIC juga komponen kita. Saya tidak mahu beri apa-apa komen tentang perkara ini.

“Kita perlu bincang isu ini dalam ‘keluarga’ BN. Kita bincang perkara ini dalam semangat kekeluargaan BN kerana pada akhirnya kita adalah sebuah keluarga yang hidup bersatu padu,” ucap beliau sebelum merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MyPPP 2017 di Wisma Felcra di sini hari ini.

Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan turut mengelak daripada memberi apa-apa komen berhubung perkara itu ketika disoal wartawan sebaliknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu beri komen tentang isu calon kerusi Cameron Highlands sebaliknya biarlah Perdana Menteri sendiri memberikan kata putus tentang perkars ini,” tegasnya.

Ketua Pemuda myPPP, Sathiah Sudakaran

Terdahulu, Satiah dalam ucapan dasarnya turut memohon supaya Cameron Highlands yang merupakan kerusi tradisi MIC untuk sekian lama supaya diberikan kepada Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas.

“Kami dalam MyPPP yang merangkumi lebih 600,000 ahli mahu mandat diberikan kepada Presiden kami, Tan Sri M. Kavyeas untuk bertanding kerusi Cameron Highlands.

“Rata-rata pengundi Cameron Highlands turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri M. Kavyeas supaya beliau bertanding sekaligus menang kerusi itu untuk BN.

“Semoga ‘suara’ kami akan didengari oleh kepimpinan tertinggi BN. Kami sudah ada calon ‘winnable’ yang mampu menang kerusi itu untuk BN,” katanya diselangi tepukan gemuruh.

Ketika ini, MIC dan MyPPP dilihat ‘berperang mulut’ antara satu sama lain berebut untuk menjadi calon Cameron Highlands yang juga dipercayai antara kerusi ‘selamat’ BN.

Antara calon yang menjadi bualan berkemungkinan besar akan bertanding di Cameron Highlands ialah Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandran merangkap Penyelaras Cameron Highlands ketika ini. – MalaysiaGazette