Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta peminat bola sepak negara berfikir di luar kotak tentang perubahan yang dibawa oleh FAM dibawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Netizen dan peminat bola sepak diminta supaya tidak mengecam sebaliknya menyokong proses perubahan yang dibawa oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap prestasi skuad bola sepak negara ‘Harimau Malaya’.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau tidak terkejut dengan kritikan netizen dan berpendapat mereka seharusnya berfikir di luar kotak tentang perubahan yang dibawa oleh FAM di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Tekanan dan segala kritikan netizen terhadap bola sepak tidak adil, sebab kalau kita lihat pada rangking baru mereka selesai dengan perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Korea Utara dan Lubenan yang mana keputusan kelayakan bukan sesuatu yang diramal.
“Berilah peluang kepada perubahan yang sedang dilaksanakan FAM demi pembangunan skuad kebangsaan ke era kecemilangan asal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung pemuda myPPP di Wisma Felcra hari ini.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya kritikan netizen terhadap kedudukan ranking semasa skuad bola sepak kebangsaan serta perubahan yang mahu dibawakan oleh FAM menerusi TMJ.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, FAM sedang merangka strategi untuk membantu pasukan dan kelab yang beraksi dalam liga Malaysia dari segi menambah sumber kewangann.
Katanya, FAM sedang fokus untuk mendapatkan l;ebih banyak hak penyiaran untuk menambah pendapatan untuk diagihkan kepada pasukan dan kelab bola sepak tempatan.
“Untuk membawa perubahan itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ia dilakukan untuk membantu semua pihak meningkatkan nilai pasaran liga tempatan kita di persada antarabangsa.
“Sama juga dalam hal mengimport pemain yang kita lihat dibantah penyokong sedangkan ia sebenarnya akan meningkat lagi nilai pemasaran Asia dan membawa pendapatan.
“Hasil yang diperolehi daripada pasaran Asia dapat kita agihkan kepada kelab dan persatuan bola sepak tempatan, kita kena menerima hakikat ini untuk kebaikan jangka masa panjang dan memberi sokongan padu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette