Kong Chaw Wan disahkan meninggal dunia akibat mati otak selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

KEPALA BATAS  – Kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan yang koma selepas disyaki didera ibu kandungnya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa, Kong Chaw Wan disahkan meninggal dunia akibat mati otak selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Sehubungan itu, kata beliau, polis kini menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ibu mangsa warga Indonesia kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Khamis lalu, ibu mangsa menghantar anak itu  ke Hospital Kepala Batas (HKB) dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mendakwa anaknya terjatuh di ruang tamu rumah mereka di Paya Lahar Kepar, Bukit Mertajam di sini.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan terdapat pendarahan di dalam otak mangsa selain menemukan beberapa kesan lebam di dada, kaki kiri serta bawah mata kiri.
Mangsa juga dilaporkan cedera parah di kepala dan disyaki mengalami pendarahan di otak akibat impak kuat daripada objek tumpul yang terkena bahagian dahi dan pipi kanannya.
Menurut Noorzainy, kes berkenaan disiasat di bawah Sekeysn 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan mendapati tempoh visa wanita berkenaan tamat pada 24 Mac lalu.
“Ibu dan kanak-kanak berkenaan menggunakan pasport Indonesia manakala suaminya rakyat tempatan dan mereka berkahwin di negara jiran,” katanya.