KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak andaian penghasilan buku Berpisah Tiada olehnya bukan sebagai persediaan bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.
Menurutnya, buku tersebut hanyalah usaha beliau untuk memberi penjelasan kepada semua pihak tentang kedudukan Sabah dalam Malaysia dari aspek perundangan.
“Tidak ada, itu lagi satu sebab saya terpaksa bertungkus lumus hasilkan buku menidakkan apa yang disebut selama ini oleh pihak di sebelah sana, bukan sahaja pembangkang, ada juga Sabah dan Sarawak fikir yang hak-haknya dicabuli.
“Tetapi bagi saya tidak boleh kita memutar balik sejarah tidak memahami, jadi saya terpanggil memberi hujah walaupun saya dikecam Sabah Sarawak yang saya adalah kaki di Kuala Lumpur, malahan saya berdiri sendiri bila dikecam dengan hebat, kerana pada saya Sabah Sarawak tidak akan kemana jika tidak menyertai gagasan Malaysia,” katanya kepada pemberita.
Tambah Pandikar, antara tujuan penulisan buku itu juga adalah sebagai menunaikan tanggungjawab beliau sebagai rakyat Sabah yang tidak mahu generasi akan datang salah faham dan salah tafsir berkenaan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
“Ada yang katakan saya ini turunkan darjat Sabah Sarawak daripada tarafnya sama taraf dengan Malaya, bila saya buat penyelidikan semuanya adalah political retorik.
“Tidak bersandarkan dalil dari semua sejarah penubuhan Malaysia yang mula bermesyuarat dengan Singapura, tidak juga terjumpa satu dalil pun tentang Sabah Sarawak sama taraf dengan Malaya. Semuanya ada dalam buku Berpisah Tiada,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku Berpisah Tiada hasil tulisan Pandikar di Bangunan Utama Parlimen.
Buku 147 halaman itu berkisarkan tentang usaha pandikar menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan Sabah dan kedudukannya dalam Malaysia dari aspek perundangan.
Dalam majlis pelancaran tersebut, beberapa anggota parlimen daripada pihak kerajaan, dan pembangkang turut serta selain timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Dewan Rakyat dan kumpulan pegawai Parlimen. -MalaysiaGazette
















