Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah pendidikan mencadangkan kepada pihak-pihak yang membantah Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate (UEC) supaya turut menggesa  Kementerian Pendidikan agar tidak mengiktiraf peperiksaan A-Level.

Pensyarah pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata, beliau  keliru mengapa sijil UEC tidak boleh diiktiraf sedangkan A-Level yang juga tidak menggunakan kurikulum kebangsaan mendapat pengiktirafan.

“Mungkin ada sebab yang saya dan ramai orang tidak tahu. Bagaimana pula dengan peperiksaan A-Level yang digunakan di sekolah dan kolej antarabangsa di negara ini? Bukankah A-Level juga tidak menggunakan kurikulum kebangsaan,” katanya.

Pandangan beliau itu dikongsi di laman Facebooknya semalam.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kalau UEC dikatakan menggugat perpaduan kaum, adakah peperiksaan A-Level dan kurikulum sekolah antarabangsa yang sekian lama diamalkan tidak menggugat perpaduan kaum?

Katanya, mungkin ada pencerahan dari pihak yang menolak sijil peperiksaan UEC tetapi tidak membantah sijil peperiksaan A-Level supaya tidak timbul kekeliruan dalam masyarakat.

“Kalau kumpulan anti UEC benar-benar ikhlas mahu mencapai perpaduan kaum, sepatutnya mereka mencadangkan kedua-dua sijil peperiksaan itu supaya jangan diiktiraf oleh KPM.

“Sebagai makluman, sebagaimana sijil A-Level, sijil UEC juga diiktiraf oleh hampir semua universiti terbaik di dunia. Oxford, Cambridge, Harvard, Yale dan banyak lagi,” katanya.

UEC diperkenalkan pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zhong, sebagai sebahagian syarat kemasukan Universiti Selangor, UNISEL.

Ia mencetus kontroversi apabila Dong Zhong meminta UEC diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke universiti awam menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi penuntutnya.

Kerajaan sehingga hari ini masih tidak membuat sebarang pengiktirafan terhadap sijil tersebut berikutan konflik istem pendidikan di negeri-negeri lain selain Sarawak yang merupakan satu-satunya negeri mengiktiraf sijil itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini memberitahu, kerajaan bersedia mengiktiraf UEC jika pihak berkepentingan sanggup mengikut syarat-syarat antaranya penyelarasan kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam peperiksaan tersebut. – MalaysiaGazette

.