Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin hadir mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Sebagai persediaan menghadapi Transformasi Nasional 2050 (TN50), Pemuda UMNO mahu menjadi peneraju utama dalam mengatasi masalah mental yang makin berleluasa dalam kalangan anak muda hari ini, yang juga merupakan antara halangan utama negara dalam menjayakan TN50.

Menurut ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sayap UMNO itu akan memberikan tumpuan dalam gerak kerjanya bagi mengatasi masalah tersebut yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat muktahir ini.

“Yang kedua ada kaitan dengan agenda sosial, kita Pemuda mahu jadi juara dalam isu kesihatan mental sebab ini menjadi satu isu yang banyak melanda anak muda hari ini.

“Tekanan psikologi, tekanan mental, buli adalah satu ancaman yang hebat, bukan hanya buli secara fizikal tetapi juga buli dari segi emosi dari segi psikologi, buli siber semakin menjadi hari ini. Kecaman yang terlalu banyak dalam online dan sebagainya.

“Dan ini bakal melahirkan generasi yang mereka rasa tidak terlindung daripada unsur buli. Jadi dua isu ini, kita akan juara, kita akan perjuangkan sebagai antara isu-su yang rapat dan yang menjadi kebimbangan orang muda pada hari ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di sini, hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Khairy turut mengumumkan bahawa Pemuda UMNO turut memainkan peranan sebagai agen yang membantu pihak kerajaan bagi mengatasi masalah-masalah sosial termasuk masalah penagihan dadah, ponteng, jenayah juvana dan sebagainya.

“Pemuda UMNO akan juga mengangkat dua isu bukan hanya untuk Perhimpunan Agung UMNO, tetapi juga sebagai gerak kerja kita selain daripada gerak kerja pilihan raya.

“Satu adalah membantu usaha kerajaan menangani agenda sosial. Satu agensi baru ditubuhkan iaitu SERI. Pemuda akan bekerjasama dengan agensi tersebut dalam membantu dalam kes-kes jenayah remaja, kes ponteng sekolah, kes gejala sosial yang lain, dadah dan sebagainya.

“Sebab kita melihat bahawa ini antara cabaran utama bagi TN50. Kita tidak mahu ada anak Malaysia yang ketinggalan yang tersisih dari arus pembangunan perdana,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat juga menggariskan dua perkara utama sebagai persediaan Pehimpunan Agung Umno 2017 (PAU 2017) mulai 5 Disember dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-4) yang dijangka selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Antara garis panduan yang dikemukakan Khairy sebagai pengerusi mesyuarat tersebut adalah berkenaan ucapan perbahasan ketika PAU  yang memfokuskan kepada masa depan negara di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan masa depan negara sekiranya pembangkang mengambil alih.

“Saya telah memberi sedikit garis panduan berkenaan perbahasan kita. Kita akan bagi banyak tumpuan kepada persiapan pilihanraya dan juga kita akan menceritakan tentang pilihan yang ada kepada pengundi muda.

“Sama ada mahu kekal dengan Barisan Nasional atau pun memilih parti lawan dan saya telah minta supaya kita dapat memberi gambaran apa akan jadi kepada negara kita jika  terus bersama dengan BN berbanding dengan apa yang boleh terjadi kepada negara kita sekiranya pihak lawan dipilih sebagai kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

.