Datuk Abdul Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR – Semua prosiding terhadap pesalah lalu lintas berkaitan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan tetapi tidak bagi pesalah lalu lintas yang disaman bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pesalah lalu lintas AWAS akan berdepan pendakwaan bermula tahun depan sekiranya masih berdegil tidak membayar kompaun yang dikenakan terhadap mereka.

“Untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April 2017 masih ditangguhkan.

“Walaubagaimanapun, untuk sistem AWAS semua saman mulai 1 Mei 2017 boleh didakwa di mahkamah sekiranya tidak menjelaskan kompaun,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, pihak Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk memulakan prosiding pendakwaan tahun depan.

“Oleh itu, kementerian melalui JPJ sedang buat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas awas untuk hadir ke mahkamah dan pihak kementerian bercadang untuk membuat pendakwaan kes AWAS mulai 2018,” ujarnya.

Beliau menasihati pesalah lalu lintas untuk menjelaskan kompaun secepat mungkin kerana jika dihadapkan ke mahkamah kos denda akan menjadi dua kali ganda.

“Kompaun hanya RM150, kalau dibawa ke mahkamah minimum kena bayar adalah RM300… kalau dibawa ke mahmakah lebih tinggi dua kali ganda,” terang beliau. – MalaysiaGazette