Mustafar Ali
Mustafar Ali

PUTRAJAYA – Seorang lagi wanita tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai dalang sindiket pelacuran ditahan dengan wang sejumlah RM1.45 juta bersamanya di Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali itu berkata, wanita itu ditahan disebuah pusat penginapan.

“Kita berjaya tangkap seorang lagi wanita dengn wang bernilai RM1.45 juta sebagai tambahan daripada rampasan RM13.5 juta dalam tindakan awal.

“Premis hotel yang disewakan sebagai perkhidmatan sapa rupa-rupanya telah digunakan untuk tempoh panjang sejak tahun 1999 tetapi menerusi hasil risikan kami ia beroperasi sebagai pusat pelacuran.

“Kita menyiasat kes dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri di sini hari ini.

Serbuan Jabatan Imigresen Sabah di sebuah apartmen menerusi Ops Gegar di di Kota Kinabalu minggu lalu juga menemui wang tunai berjumlah RM11.88 juta di sebuah bilik hotel sebelum menjumpai lebih RM1.17 juta menerusi pemeriksaan susulan di sebuah apartmen berhampiran.

Keseluruhan rampasan berjumlah RM13.5 juta.

Seramai 17 gadis dan wanita Filipina berusia belasan tahun sehingga berusia 40-an yang ditempatkan dalam enam bilik hotel terbabit turut diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Wanita Filipina berkenaan dipercayai dipaksa menjadi pelacur di negeri di Semenanjung Malaysia.

“Wanita tempatan yang ditahan kita semalam di Jalan Api-Api ialah isteri kepada seorang lelaki yang juga dalang pertama yang juga ditahan sebelum ini dan secara keseluruhannya seramai 21 orang ditaha membantu siasatan,” tegasnya.

Ditanya sebab kenapa aktiviti sindiket pelacuran itu dikesan agak lambat memandangkan ia sudah beroperasi sejak tahun 1999, Mustafar berkata, sindiket itu licik mengaburi mata penguat kuasa.

“Bagaimanapun dalam risikan sejak dua bulan lalu, kita berjaya mengesan operasi mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette