Mantan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Pak Hamid Awaludin (tiga kiri) beramah mesra semasa sidang akhbar mengenai kenyataan Tun Mahathir terhadap kaum Bugis di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Hamid Awaludin mencadangkan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dikenakan tindakan ‘sangsi sosial’ oleh rakyat di negara ini.

Tindakan ‘sangsi sosial’ yang dimaksudkan oleh Hamid adalah satu bentuk kutukan dan kecaman terhadap bekas Perdana Menteri yang didakwa  semakin buruk akhlaknya walaupun sudah berusia.

Meskipun ianya merupakan tindakan yang paling ‘keras’ namun, hanya tindakan tersebut yang sesuai dikenakan terhadap Mahathir berikutan kenyataan berhubung isu lanun Bugis sebelum ini.

Menurut Hamid, isu itu memberikan kesan buruk yang besar terhadap isu perkauman dan hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Yang paling bagus diberikan terhadap Mahathir adalah tindakan moral dan sangsi sosial. Apa itu adalah mencebiri (mengutuk) Mahathir sebagai pemimpin dengan usia tuanya yang berakhlak buruk.

“Ini adalah perangai buruk pemimpin tua. Semakin tua, semakin berakhlak buruk. Itu sangsi dan belum tentu dia belum recovery (memulihkan) sehingga dia pergi (meninggal dunia) nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mantan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Pak Hamid Awaludin bercakap kepada media mengenai kenyataan Tun Mahathir terhadap kaum Bugis semasa sidang akhbar di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 NOVEMBER 2017

Hamid yang juga berketurunan Bugis hari ini tampil dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur mewakili kaum Bugis di Indonesia dan kenyataannya sebagai reaksi kepada ucapan Mahathir sebelum ini yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sebagai lanun.