KUALA LUMPUR – Laporan penuh penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan setebal 400 muka surat lebih itu diletak atas meja semua 222 Ahli Parlimen pagi tadi – pada terakhir sidang Dewan Rakyat tahun ini.

Nashkah laporan itu berjudul Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh BNM Sekitar Tahun 1990-an itu dijangka dibentang hari ini.

RCI mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir pada 19 September selepas mendengar keterangan seramai 25 saksi.

Sebanyak 42 dokumen diteliti dan 25 keterangan saksi didengarkan dalam 9 sesi RCI.

RCI ditugaskan menyiasat kerugian forex sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran mata wang pada masa itu) yang dialami Bank Negara antara 1991 dan 1993.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

Dakwaan skandal itu berlaku semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri dan ketika Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan (1991-1998). – MalaysiaGazette