Fadillah Yusof

 

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak perlu menilai dan mengajar rakyat Sarawak apatah lagi mencabar Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg untuk berdebat mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pandikar Amin bukanlah individu yang ditauliahkan atau diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Sebagai rakyat Malaysia pribumi Sabah, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pendikar Amin Mulia ada hak untuk mengemukakan pandangan peribadi beliau, akan tetapi beliau tidak ada keperluan untuk menilai dan mengajar rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin Speaker Dewan Rakyat itu mengalu-alukan Abang Johari untuk berdebat selepas Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan balasnya tidak bersetuju dengan Pandikar Amin yang menyatakan perjanjian tersebut tidak penting bagi dua negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, perjuangan Ketua Menteri Sarawak adalah berdasarkan kemahuan dan kepentingan rakyat Sarawak.

Ianya juga, katanya, berlandaskan kepada penyelidikan, lunas perlembagaan, perundangan Malaysia dan di atas semangat di sebalik pembentukan Malaysia melalui MA63.

Malah, menurut beliau, perdana menteri juga bersetuju untuk melihat perkara ini dan bersetuju membentuk jawatankuasa bersama bagi membincangkan lebih lanjut berhubung MA63.

“Ini adalah perkembangan yang positif dan kita menyambut baik saranan oleh YAB Perdana Menteri supaya perkara ini dibawa ke meja rundingan,” katanya.

Katanya, Pemuda BN negeri dan seluruh rakyat Sarawak mempunyai pandangan yang sama dengan ketua menteri dan sentiasa menyokong penuh usaha beliau dalam rundingan untuk mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam semangat pembentukan Malaysia melalui MA63.

“Kami percaya atas semangat Barisan Nasional perkara ini akan dapat diselesaikan bersama secara permuafakatan oleh kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak dengan YAB Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette