KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan menghantar seorang kanak-kanak pesakit buah pinggang kronik dari Kampung Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan lewat petang semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi) V Pannir Selvan berkata pesakit berkenaan yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Tekek, Wan Muhammad Firdaus Mohd Nazri, 11, diterbangkan untuk mendapatkan rawatan segera setelah menunjukkan tanda-tanda jangkitan buah pinggang yang serius.

“Mengikut maklumat Klinik Kesihatan Tekek, Wan Muhammad Firdaus mengalami sakit kepala, muntah-muntah dan pandangannya kabur serta mengalami tekanan darah tinggi akibat jangkitan pada buah pinggang, sejak semalam.

“Pesakit tersebut telah mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Tekek, namun pegawai perubatan dan kesihatan mengesahkan keadaannya memerlukan rawatan lanjut di hospital dengan kadar segera,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi kanak-kanak yang ditemani ibunya Nik Radiatul Arabiah Mohd Ghazali, 40, itu diterbangkan helikopter jenis Agusta AW139 Maritim dan selamat mendarat di padang Majlis Perbandaran Kuantan 4 kira-kira jam 8.45 malam tadi sebelum dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Penerbangan diketuai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia Leftenan Komander Ahmad Fauzan Jaafar dan pembantunya, Leftenan Komander Mohd Faizul Mohd Sayuti, kru udara Zaiful Hidzam Khalily dan penyelam penyelamat Mohd Fadzil Noor Shamsuddin.

“Usaha untuk membawa pelajar itu pada peringkat awal menghadapi kesukaran berikutan keadaan hujan di pulau tersebut dengan angin kencang dari arah depan hingga 50km/jam menyebabkan helikopter mengambil masa untuk mendarat di Kuantan,” katanya-MalaysiaGazette