Salah seorang penunggang motorsikal yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.3 Lebuhraya Linkedua arah utara di Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 14.3 Lebuhraya Linkedua arah Utara (arah Senai) di sini hari ini.

Kemalangan berlaku apabila salah seorang penunggang motorsikal, Muhammad Nazri Abdullah, 23, menunggang motorsial Yamaha 125 secara melawan arus dalam kejadian 7.40 pagi itu.

Ekoran kejadian itu, mangsa, Muhammad Nazri, yang berasal dari Kampung Rahmat, Rantau Panjang Kelantan dan Mohammad Hisham Mohd. Kassan, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Kedua-dua mereka merupakan pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Deputi Superintendan M. Kumaresan berkata, Muhammad Nazri yang menunggang secara sendirian dipercayai melawan arus dari arah Senai menuju ke Gelang Patah.

“Pada masa sama, datang sebuah lagi motosika jenis Honda ditunggang Mohammad Hisham sebelum bertembung dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Kumaresan berkata, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kulai dekat sini untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.