Nasiruddin Mohamed menyerahkan memorandum kepada Pengarah Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkaitan isu pembangunan tanah dan ketirisan dalam projek berhampiran perumahan Taman Melati itu di lobi MPAJ hari ini.

AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diberi tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan mengenai isu pembangunan di sekitar Ampang yang melibatkan pegawai majlis itu.

Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor (Gapenas) akan bertemu Yang DiPertua MPAJ, Abd Hamid Hussein sekiranya soalan yang dikemukakan tidak dijawab dalam tempoh yang ditetapkan itu.

Pengerusinya, Nasiruddin Mohamed berkata pihak telah menggariskan enam soalan kepada Abd Hamid dalam surat terbuka yang diserahkan kepada Pengarah Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad di lobi bangunan majlis itu.

Menurutnya, antara yang disoal ialah mengenai kelulusan tender haram melibatkan sebuah kawasan padang kepada Pusat Konvensyen MPAJ di Taman Melawati, nombor lot tanah pembangunan pusat konvensyen itu yang bercanggah dengan tender dan pembayaran kepada perunding yang mengabikatkan pembaziran wang rakyat.

Kata beliau, pihaknya juga memerlukan penjelasan kepada soalan kenapa janji asal kepada penduduk Melawati untuk membina taman rekreasi awam ditukar kepada pusat konvensyen yang kini tidak dikehendaki penduduk kawasan itu.

“Malah Kami juga mendapat tahu bahawa pegawai MPAJ terlibat rasuah yang mana seorang pekerja binaan telah mengakui pegawai MPAJ menerima wang rasuah dari kontraktor dan ini diketahui semasa lawatan Pengerusi (penduduk) Taman Melawati Razman Abdullah bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),” katanya kepada pemberita di lobi MPAJ hari ini.

Tambah beliau, selain itu MPAJ juga mempunyai tanggungjawab menjelaskan peranan MPAJ meluluskan projek yang dikhuatiri akan mengakibatkan kebanjiran warga China dengan pemilikan tanah berstatus kekal.

Justeru katanya, pertemuan dengan Abd Hamid penting supaya segala isu-isu yang dibangkitkan tidak dipandang enteng. – MalaysiaGazette