Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bersalaman dengan para perwakilan ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan presiden, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin berjiwa besar apabila mengenepikan emosi dan fahaman politik semasa membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Najib merupakan seorang pemimpin berjiwa besar yang tahu menggunakan budi bicara sama ada semasa melawan musuh dan menolong musuh.

“Satu perkara saya pasti semua rakyat mengakuinya. Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang berjiwa besar.

“Beliau tahu mengasingkan waktu bila musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang,” kata beliau semasa ucaptama Persidangan Wanita UMNO di PWTC hari ini.

Beliau kemudiaan memberikan contoh semasa bencana banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini dimana Najib bukan sahaja turun untuk bertemu rakyat di negeri tersebut malah mengumumkan peruntukan untuk mitigasi banjir bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

“Datuk Seri Najib sendiri turun bersama isteri, meredah air banjir di Bukit Mertajam, merasai sendiri kesusahan rakyat di sana. Siap umum bakal peruntukkan projek bernilai RM1 bilion untuk mitigasi banjir di negeri pembangkang tersebut.

“Sebelum itu, pukul 3 pagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jawab panggilan Lim Guan Eng dan terus hantar bantuan. Datuk Seri Hisham (Hishammuddin Hussein) juga kerah beribu anggota pertahanan bantu segera selamatkan rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Shahrizat turut mempertikai kemampuan pemimpin pembangkang untuk mencontohi sikap yang ditonjolkan oleh pemimpin utama UMNO tersebut.

“Apa akan ada pemimpin-pemimpin seperti ini dalam DAP atau PKR atau PBBM? Pemimpin yang rela mengenepikan emosi, kemarahan dan kebencian. Menggantikan ia dengan bantuan dan pertolongan tanpa syarat?

“Didikan UMNO melahirkan pemimpin berjiwa besar. Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin dan ahli UMNO, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar,” katanya. – MalaysiaGazette