Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 dan persediaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Biarpun pemilihan UMNO tidak mengambil tempat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) kali ini, namun parti itu tidak menghalang bagi semua perwakilan untuk membangkitkan perkara itu.

Menurut Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, tiada sebarang halangan bagi perwakilan untuk bercakap mengenai pemilihan jawatan dalam UMNO kerana proses itu tidak akan mengambil tempat pada perhimpunan kali ini.

“Perwakilan mereka boleh bercakap mengenai jawatan dalam pemilihan UMNO, saya rasa ia baik, kerana ini adalah Perhimpunan Agung dan perwakilan yang turun pun dah bercakap, itu terpulang kepada mereka.

“Kita tidak bincang mengenai jawatan pada pemilihan, kita cuma bincang perkara am tentang perhimpunan. Kita tidak tahu apa yang perwakilan akan cakap, kita beri kebebasan untuk bersuara,” katanya kepada wartawan selepas selesai menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Bendaharinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Antara lain adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dan Ahli-ahli MT antaranya, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Sebelum ini ada gesaan bahawa jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak dipertandingkan bagi menjaga keluhuran parti itu.

Antaranya Datuk Seri Nazri Aziz yang menyuarakan supaya tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bagi memberikan laluan kepada Najib dan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid kini menjalankan tugas selaku Timbalan Presiden selain memegang jawatan Naib Presiden.

Dalam pada itu, selesai sahaja Mesyuarat MT, semua ahlinya bergegas ke kediaman Ahli Parlimen Jelebu di Villa Puteri bagi menziarahi Datuk Zainuddin Ismail.

Zainuddin meninggal dunia jam 7.30 malam tadi dipercayai akibat ketumbuhan otak yang dialaminya selama ini. -MalaysiaGazette.