Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengibarkan bendera Sang Saka Bangsa ketika menyanyikan lagu Puteri UMNO sebelum bermulanya Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO tidak akan merajuk dan tidak tutup bilik gerakan sekiranya sayap UMNO itu tidak terpilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Demikian kata ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memberi jaminan sambil menegaskan sayap UMNO itu akan bekerja kuat untuk memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-14.

“Kalau ada di antara kami yang tidak dipilih, saya sebagai ketua Puteri UMNO ingin memberi jaminan kami tidak akan merajuk, tidak akan bergasak, dan janji tidak tutup bilik gerakan.

“Puteri akan terus bekerja, janji BN menang. Pilihlah yang terbaik dalam kalangan terbaik demi kemenangan dua pertiga majoriti pada PRU-14 yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bersemangat menyanyikan lagu Puteri UMNO sebelum bermulanya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 DISEMBER 2017

Mas Ermieyati juga berkata, Puteri UMNO berikrar akan terus wala’ terhadap pemimpin sedia ada dan parti UMNO bagi memenangkan BN.

“Sebab itu, Puteri tidak mendesak sebarang pemilihan calon. Cuma kami mengharapkan agar pemilihan calon akan turut mengambil kira wanita dan orang muda.

“Puteri juga mengharapkan calon dipilih itu nanti mestilah juga yang boleh menang, disukai pengundi, mampu bekerja dan berkebolehan,” ujarnya.

Katanya lagi, Puteri UMNO juga mencadangkan agar jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.

“Kedua-dua pemimpin berjiwa besar ini harus dikekalkan dan diberikan ruang untuk terus bersama-sama memantapkan parti dan negara.

“Tumpuan kita juga dapat ditumpahkan sepenuhnya terhadap usaha untuk menumpaskan gempuran politik pembangkang dalam PRU14 seterusnya menyambung mandat untuk memenuhi agenda kepentingan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.