Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO di Sabah yang sudah memegang jawatan lebih tiga penggal diminta memberi laluan kepada pemimpin muda pula menjadi calon PRU-14.

Cabaran itu dilontarkan Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan yang mahu Pemuda UMNO antara yang mengisi kekosongan itu.

Katanya, Pemuda Sabah harus ada satu pemikiran untuk melakukan revolusi dan tidak perlu takut bagi mengelak mereka ketinggalan.

“Pemuda Sabah sudah buat keputusan, sudah cukup sudah. Kami cabar mana-mana ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah memegang jawatan lebih tiga penggal, yang sudah tidak boleh menjadi menteri ataupun ketua menteri, tulis surat kepada pengerusi perhubungan dan presiden parti untuk beri ruang kepada anak muda.

“Ini jawatan bukan kita yang punya, tapi ini jawatan UMNO yang punya,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC di sini hari ini.

Secara sinis mempersoalkan logik bagaimana masih ada lagi mereka yang menjadi pemimpin sejak 1970-an dan sehingga kini masih mahu menjadi calon serta membicarakan tentang perjuangan yang belum selesai.

“Sudah 10 tahun tidak ada seorang pun calon Parlimen dari Pemuda Sabah yang berusia bawah 40 tahun, mana maruah kita? “Tapi bila ada pemimpin Pusat yang datang ke Sabah, kami inilah yang diminta untuk menyambut ketibaan, jadi berduyun-duyunlah kami pergi ke lapangan terbang.

“Bila diajukan mengenai ini, kami diminta bersabar dan ada pemimpin kata masa kami akan sampai. Tiap-tiap tahun kami berharap nama masuk dalam senarai (calon), tapi hingga kini itu hanya mimpi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast