Foto Twitter Fathia Latiff.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Fathia Latiff tidak mahu melatah dengan kritikan yang dilemparkan oleh pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar ketika berucap pada persidangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Fathia berkata, ini kerana Dira yang juga exco Puteri UMNO Tangga Batu, Melaka mempunyai hak bercakap seperti mana dirinya.

Namun pelakon drama bersiri popular, Ariana Rose Jawi itu menegaskan, dia tetap tidak berganjak dengan pandangan yang disuarakan sebelum ini.

“Dira mempunyai hak untuk berkata apa saja apa yang dia mahu dan sama seperti saya. Tetapi satu perkara yang pasti, saya tetap dengan apa saja yang pernah saya katakan tanpa rasa takut atau pilih kasih daripada sesiapa,” katanya.

Semalam Dira meningatkan Fathia tidak berlagak pandai atau acah-acah ‘terer’ politik dengan membuat pelbagai komentar mengkritik pentadbiran kerajaan di laman sosial tanpa asas yang kukuh.

Dira berkata, lebih buruk lagi apabila kritikan itu dibuat hanya berdasarkan rujukan dan bersumberkan laman sosial serta Internet.

Sebelum ini, Pelakon Nur Fathia Latiff dilihat lantang mengkritik dasar dan inisiatif pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak dan lebih cenderung kepada politik pembangkang menerusi akaun Twitter dan laman sosial lain. – MalaysiaGazette