Ketua Diaspora HAMAS Dr Maher Salah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
KUALA LUMPUR – Ketua Diaspora HAMAS Dr Maher Salah, hari ini melahirkan harapan agar Malaysia mengetuai usaha politik menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau berkata Malaysia harus menggunakan pengaruhnya yang dihormati dunia Arab dan Islam untuk mengetuai usaha pelbagai peringkat, menentang keputusan secara terang-terangan mengenai Kota Suci itu yang ditolak kebanyakan negara dunia termasuk di Eropah, Asia dan Amerika Latin.

“Rakyat kami di tanah Palestin, di dunia Arab dan Islam serta negara lain akan luahkan kemarahan dan penolakan berhubung keputusan ini, selepas solat Jumaat, hari ini.

“Kami menentang keputusan tersebut. Ia tidak mungkin dilaksanakan. Ini adalah ibu negara Palestin, ia akan tetap menjadi kota Palestin, Islam dan Arab dan ia adalah suci bagi umat Islam dan Kristian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Salah dan Kiandee turut membincangkan pendirian kerajaan Malaysia dan Parlimen yang menolak keputusan Trump, yang menurut Salah adalah jelas dan mewakili semua rakyat di negara ini.

— BERNAMA