Home Nasional Rampasan tunai RM19.97j Ops JANS diserah kepada kerajaan

Rampasan tunai RM19.97j Ops JANS diserah kepada kerajaan

Antara barangan yang dirampas berkaitan kes rasuah yang melibatkan pengarah Jabatan Bekalan AIr Sabah pada Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam melucuthakan wang tunai sejumlah RM19.97 juta,  jumlah keseluruhan wang dan akaun bank yang disita daripada Operasi Jabatan Air Negeri Sabah (Ops JANS) dan menyerahkannya kepada Kerajaan Malaysia.

Keputusan itu dibuat oleh Datuk Nurcahaya Arshad.

Manakala keputusan untuk melucuthakan baki wang disita yang berjumlah RM1.8 juta ditetapkan perbicaraannya pada 13 Disember ini, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan di sini.

Ops JANS berjaya membongkar kegiatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kesemua kakitangan jabatan itu dengan nilai rampasan wang tunai terbesar sejak penubuhan SPRM.

Dalam operasi yang bermula pada 4 Oktober 2016, SPRM telah berjaya merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Fasa kedua operasi pada Januari lalu pula, SPRM menahan lagi seramai 35 ketua bahagian dan daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan tersebut.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM telah membuka 10 kertas siasatan dan telah menfailkan pelucuthakan wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta di bawah Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada Mahkamah Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette