Wakil Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mewujudkan satu portal dakwah bagi menangkis fitnah yang disebarkan menerusi media sosial oleh ‘ustaz jadian’.

Cadangan itu diutarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tasek Gelugor, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah mewakili UMNO Pulau Pinang.

Beliau mahu portal dakwah itu memainkan peranan untuk dijadikan rujukan rakyat dalam mendapatkan maklumat tepat berhubung perkara-perkara berkaitan agama.

Katanya, banyak isu agama dibangkit dan dibincangkan di Facebook mendapat pelbagai ulasan dan provokasi termasuk daripada keyboard warrior.

“Jadi kita tidak mahu rakyat terkeliru dan mendapat maklumat yang salah berkaitan apa sahaja isu berkaitan agama, jadi adalah wajar satu portal dakwah ini dapat diwujudkan,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Mohd. Nashrol turut menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah portal yang dilihat kerap menghina pemimpin negara dan juga kerajaan dengan agenda tertentu.

“Kita minta pihak berwajib jangan biarkan penghinaan ini terus berlaku, Pulau Pinang mahu siasatan dilakukan, siapa di belakang dan menjadi sumber kepada portal ini, kita mahu tindakan diambil terhadap mereka,” katanya. – MalaysiaGazette