Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin mengangkat tangan bersama sebaik tamat sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien untuk terus menyandang jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

“Jawatan naib presiden terbuka kepada sesiapa sahaja namun kita harap Hishammuddin akan mendapat undian tertinggi. Kita akan beri sokongan penuh kepada beliau,” katanya pada sidang media selepas selesai PAU 2017 di sini hari ini.

Ketika ditanya berkenaan usul dua jawatan tertinggi parti itu yang tidak dipertandingkan, Najib berkata, usul tersebut tidak melanggar perlembagaan parti.

Ia kerana kuasa tertinggi dalam parti tersebut tertakluk kepada perhimpunan agung.

“Iya…ikut perlembagaan kerana kuasa tertinggi ialah kuasa perhimpunan agung dan tiada kuasa lain. Perhimpunan agung boleh meminda perlembagaan jima perlu,” katanya.

Tambahnya, sekiranya ada mana-mana ahli yang mahu bertanding kedua jawatan tersebut, ianya secara automatik akan terbatal.

Semalam, UMNO melakar sejarah baharu apabila sebulat suara oleh perwakilan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

Terdahulu, dalam ucapan penangguhannya, Najib memberitahu, usul tidak ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi UMNO bukan daripadanya sebaliknya datang daripada perwakilan sendiri. -MalaysiaGazette