Wakil Selangor Bahagian Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – DAP didakwa berjaya ‘memprogramkan’ dua pemimpin Melayu mereka, Datuk Zaid Ibrahim dan Ustaz Wan Ji Wan Hussin dalam usaha menjatuhkan sultan dan Raja-Raja  Melayu.

Itu dakwa perwakilan UMNO Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Justeru, Zainal Abidin membidas kedua-dua pemimpin Melayu tersebut yang diperalatkan oleh DAP kerana biadab dalam membuat penghinaan kepada Sultan Selangor.

“Kini, mereka mula menyerang pula ketua agama Islam, di Selangor Zaid Ibrahim telah buat teguran kepada Sultan Selangor supaya menutup mulut atau dalam bahasa kasar Zaid berkata kepada Sultan Selangor shut up dan itu adalah sembah derhaka.

“Kenapa institusi raja ini pula sedang serang oleh mereka yang diprogramkan oleh DAP, Zaid adalah ahli DAP… DAP juga dengan bangga mengambil Wan Ji sebagai pegawai khas walhal beliau sebelum ini ada menghina sultan dalam sebuah video,” kata beliau semasa membahaskan ucapan dasar di Perhimpunan Agung 2017 hari ini.

Beliau menyifatkan sikap kedua-kedua individu itu sebagai tidak tahu malu dan menunjukkan keseriusan DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

“Mereka langsung tak malu kepada orang Melayu. Ini tunjukkan mereka serius untuk buang raja dan sultan Melayu bagi menubuhkan sebuah negara republik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata UMNO Selangor akan mengadakan satu himpunan esok untuk menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor. – MalaysiaGazette