Mohamad Munir Bani

KUALA LUMPUR – Berikutan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memulangkan dua darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Selangor, istana negeri hari ini memberitahu, kenyataan rasmi mengenainya akan dimaklumkan esok.

Menurut Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, memandangkan hari ini cuti sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, pihaknya tidak dapat membuat pengesahan rasmi mengenai dakwaan itu.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara ini kerana hari ini cuti dan pejabat tutup. Esok saya akan semak dan keluarkan kenyataan rasmi mengenainya,” katanya kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Kebanyakan portal berita hari ini melaporkan dakwaan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali telah memulangkan dua pingat yang dianugerahkan Sultan Selangor kepadanya sebelum ini.

Difahamkan, dua pingat yang dipulangkan itu ialah Darjah Kelas Pertama Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikatakan berbuat demikian setelah Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan kenyataannya menghina bangsa Bugis.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menerusi twitternya memberitahu, tiada istilah ‘memulangkan’ Darjah Kebesaran dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

“(Yang ada) hanya ‘Penganugerahan’ atau ‘Tarik balik’,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali pula turut menjelaskan, jika benar tindakan Dr. Mahathir itu, ia tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Ini antara Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dengan istana. Tiada kaitan dengan kerajaan negeri,” ujar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast